Tolerating Tokyo Part 6 - Disneyland!

Hello! This will be the last post for my trip to Tokyo. And in this post you get an extra story of Disneyland, which was edited out. Disneyland are strict about the photos that gets published. We must get them from their archive only. You can't use your own photos.

Blogging takpe kot? Hopefully! I hope from my postings, sedikit sebanyak membantu for people who are planning their trip to Japan.

Feel free to contact me if you need to know a bit more. I'll help where I can.

* * * * *

Tokyo Disney Resort
Taman keriangan paling popular di dunia, Disneyland! Saya mengaku, di antara kesemua tempat yang disenaraikan dalam pakej ini, saya paling tertunggu-tunggu untuk ke Tokyo Disney Resort. Sejurus masuk, perhatian saya tertumpu ke bahagian tengah yang penuh dengan orang. Rupa-rupanya saya langkah kanan, tayangan ‘parade’ khas Frozen baru sahaja bermula! Parade Frozen ini ditayangkan cuma untuk seminggu dan hari kedatangan saya adalah hari kedua terakhir. Kalau anda seperti saya, baru pertama kali menjejakkan kaki ke Disneyland, saya percaya anda mesti berkongsi perasaan yang sama dengan saya – rambang mata! Saya terlalu teruja sehingga tak tahu di mana nak mula.






Disneyland terbahagi kepada 7 kawasan yang menawarkan konsep berbeza setiap satu, kawasan-kawasan tersebut adalah World Bazaar, Adventureland, Westernland, Critter Country, Fantasyland, Toontown dan Tomorrowland. Jika anda merancang untuk mencuba setiap satu permainan, pakai kasut yang selesa dan pakaian yang bersesuaian mengikut musim. Giliran anda mungkin tiba selepas sejam kerana barisan beratur sangat panjang. Pada mulanya saya tertawa melihat mereka di sana yang membawa selimut, tikar dan kerusi lipat. Rupanya mereka sudah bersedia untuk menghadapi musim dingin ketika beratur. Persediaan yang bijak! Saya ada beberapa tips untuk berkongsi dengan anda. Yang pertama, kalau boleh jangan datang pada hujung minggu, dan kedua bersedia dengan bekalan makanan. Anda mungkin tidak boleh membawa ia masuk, tetapi anda boleh keluar dan masuk semula, asalkan anda mempunyai tiket. Memang ada banyak kiosk makanan di dalam, tetapi agak susah untuk mendapatkan makanan halal di Disneyland lebih-lebih lagi jika anda tidak sanggup untuk beratur panjang.


Setiap kawasan pasti ada kedai atau kiosk cendera mata yang menjual pelbagai barangan permainan dan merchandise berkisarkan watak-watak popular filem Disney. Harganya mungkin sedikit mahal, tapi sebagai kenangan apa salahnya melabur sedikit. Saya sendiri tidak membeli-belah begitu banyak, tapi saya amat berpuas hati dengan syiling peringatan yang saya bawa pulang. Cuba jadikan misi anda untuk mencari mesin syiling peringatan si sekitar Disneyland. Setiap mesin menghasilkan motif yang berlainan dan berharga 1000yen setiap satu. Saya cuma jumpa 7 buah mesin, 6 di Tomorrowland dan 1 di The Home Store, World Bazaar. Anda boleh mulakan dengan 7 mesin ini dan kumpulkan kesemuanya!


AEON Mall Makuhari
Tidak jauh dari Disneyland adalah AEON Mall Makuhari. Anda mungkin biasa mendengar nama AEON di Malaysia. Di Jepun, AEON adalah salah satu cawangan gedung serbaneka terkemuka dan AEON Makuhari adalah salah satu cawangan paling besar di Tokyo. Jika anda masih belum penat membeli-belah, pusat membeli-belah ini pasti akan berjaya membuatkan anda penat. Mula dibuka pada hujung tahun 2013, pusat membeli-belah ini memuatkan 350 kedai dan restoran, pawagam, gimnasium dan juga trek larian. Bangunannya terbahagi kepada 4 dan setiap satu dikategorikan mengikut produk jualan. Walaupun cuma 2 tingkat, bangunan ini memanjang dan perjalanan dari satu hujung ke hujung mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit! 4 bahagian AEON Mall Makuhari adalah Grand Mall (barangan untuk pelanggan dewasa), Family Mall (barangan kanak-kanak dan keluarga), Pet Mall (produk dan barangan untuk haiwan peliharaan) dan Active Mall (barangan sukan dan elektronik).


Saya paling tertarik dengan Pet Mall kerana bahagian ini khas untuk haiwan peliharaan. Di tingkat bawah terdapat sebuah spa untuk haiwan dan lebih menarik lagi, haiwan peliharaan dibenarkan dibawa masuk ke dalam Pet Mall.


Dalam banyak-banyak kemudahan ruang solat, surau di AEON Makuhari adalah yang terbaik. Papan tanda besar dapat dilihat sebagai petunjuk arah ke surau di tingkat 4. Berbeza dengan yang sebelumnya, surau di AEON Makuhari memisahkan ruang lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai ruang solat yang besar dan tempat mengambil wudhuk tersedia di dalam. Turut disediakan di sini adalah sejadah dan telekung untuk bersolat. Begitu terperinci penyediaan mereka untuk memudahkan pelanggan beragama Islam beribadat. Saya begitu terharu kerana fasiliti di negara luar lebih elok dan terjaga daripada negara sendiri.




Hotel Springs Makuhari
Hari terakhir kami di habiskan di Hotel Springs Makuhari, berjarak 10 minit berjalan kaki dari AEON Makuhari. Hotel ini mula beroperasi 25 tahun lalu dan satu-satunya hotel yang dinobatkan sebagai “Muslim friendly hotel”. Perkara pertama yang saya ucapkan apabila melihat interior hotel ini adalah, mewah! Mana tidaknya, hotel ini bertaraf 5 bintang. Bilik bankuet mereka dihiasi chandelier yang berharga setanding sebuah kereta setiap satu.


 Tidak sangka sama sekali pihak pengurusan hotel ini sedaya-upaya mempersiap kemudahan untuk pengunjung Muslim. Kami dibawa ke Musollah untuk kegunaan ramai di tingkat 5 hotel ini. Tempat mengambil wudhuk disediakan di dalam tandas yang berdekatan dengan musollah. Sejadah sedia terbentang di dalam bilik solat dan pihak hotel membenarkan surau ini digunakan bukan sahaja untuk tetamu hotel malah terbuka untuk mana-mana pelancong Muslim. Menurut pihak pengurusan, sejadah dan arah kiblat juga disediakan di dalam bilik hotel untuk tetamu beragama Islam.







Hotel ini mempunyai 2 restoran yang menghidangkan juadah halal. Set menu halal hanya disediakan dengan permintaan pelanggan dan kesemua ramuan serta restoran mendapat sijil pengiktirafan status halal. Anda boleh mencuba set menu Jepun atau makanan Cina di salah satu daripada 2 restoran ini.



Untuk bercuti di negara asing sebenarnya tidak susah bagi seorang Muslim, cukup agar kita menjaga adab serta sentiasa mencari ikhtiar untuk menyempurnakan tanggungjawab beribadat. Di negara Jepun, saya cuma sarankan agar anda mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang fasih berbahasa Inggeris untuk membantu anda berkomunikasi dengan  pengusaha restoran dan pekedai. Selebihnya, kemudahan yang telah tersedia cukup meyakinkan sikap penerimaan dan keterbukaan mereka untuk pengunjung Muslim. Selamat melancong ke Jepun!



First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media

0 Comments:

Post a Comment