Tolerating Tokyo Part 3 - Adjusting to Asakusa

Interested tak to visit Tokyo after reading what I wrote? I hope I did justice to Malay writing. Do leave a comment. Or else I wouldn't know if I am really bad. Rupanya selama ni perasan je kan.

Okay, lets continue the journey in Asakusa, Tokyo! I stayed here for 2 nights.

* * * * *
Sensō-ji, Asakusa
Bandar Asakusa bertempat di daerah Taito, perkara pertama yang saya perhatikan di sini adalah pertembungan Tokyo lama yang masih kekal dengan identiti tradisional dan juga Tokyo moden. Agak menarik bagi saya yang berdiri sementara menunggu lampu isyarat bertukar untuk menyaksikan beca tradisional yang ditarik bersama 2 orang penumpang, berlalu di hadapan saya. Di sini saya berkesempatan bertemu dengan pihak pengurusan pelancongan Taito dan dibawa ke tokong tertua di Tokyo, Sensō-ji.


Untuk masuk ke Sensō-ji, kita mesti melalui Kaminarimon atau Pagar Guruh (Thunder Gate), salah satu daripada 2 pagar utama Sensō-ji. Tarikan utama Kaminarimon semestinya tanglung atau lantera gergasi yang berada betul-betul di tengah pagar. Lantera ini berukuran 3.4m keliling, 4 meter tinggi dan seberat 670 kilogram! Di hadapan lantera, tertulis nama Kaminarimon dan bahagian bawahnya pula adalah ukiran kayu bermotifkan naga.


Perjalanan dari Kaminarimon ke pagar kedua, Hozomon sememangnya menarik kerana laluan yang diberi nama Nakamise ini memberikan kita gambaran seolah-olah kita sedang berjalan di dalam bandar Tokyo lama di zaman Edo. Terdapat kira-kira 90 buah kedai di deretan Nakamise dan rata-ratanya menjual barangan serta produk kraf Jepun dan cenderahati untuk para pelancong. Selain itu, tidak putus di kiri dan kanan lorong, pilihan pelbagai snek dan makanan Jepun. Ada juga gerai yang melakukan demonstrasi penyediaan makanan seperti Ningyoyaki, sejenis kuih berintikan kacang merah yang dibakar. Jika anda ke sini, sila bersedia untuk bersesak! Nakamise adalah tempat utama yang dituju untuk mendapatkan cendera mata seperti magnet, t-shirt dan barangan lain.


Hozomo atau pagar khazanah mempunyai dua tingkat dan menempatkan pelbagai khazanah di tingkat kedua. Di tingkat bawah terdapat 2 patung di setinggi 5.45 meter dan 3 lantera gergasi. Hozomon dibina hampir 500 tahun dahulu dan pernah dua kali terbakar dalam dua kejadian berjarak 300 tahun. Pada tahun 1965, Hozomon dibina semula untuk kali kedua menggunakan bahan tahan  kebakaran dan struktur konkrit berteraskan besi bagi memastikan keutuhannya.




Satu perkara yang menarik perhatian saya adalah The Dragon Fountain / air pancut naga yang disediakan. Pengunjung Sensō-ji disaran menyucikan diri sebelum masuk ke dalam dewan utama. Setiap orang akan mengambil gayung dan mencedok sedikit air, cukup untuk berkumur dan membersihkan kedua pergelangan tangan dan juga membersihkan gayung yang digunakan untuk penggunaan seterusnya.  Sebagai menghormati budaya mereka, saya turut mengikuti proses tersebut. Akan tetapi saya lupa yang ketika itu adalah musim sejuk dan jirusan pertama air cukup menyejukkan sehingga saya hampir menjerit terkejut! Saya pasti mereka menahan ketawa melihat gelagat saya ketika itu. Untuk makluman, pengunjung Sensō-ji tidak dibenarkan untuk mengambil gambar di dalam dewan utama.



Saya perlu kongsi dengan anda satu tips untuk mendapatkan gambar Nakamise dan pagoda 5 tingkat yang cantik tanpa perlu bersusah-payah. Anda cuma perlu ke Asakusa Culture Tourist Information Center yang terletak setentang dengan  Kaminarimon (Thunder Gate) dan naik ke observation deck di tingkat 8. Tiada caj! Di situ juga terdapat satu kafe untuk anda berehat sambil menikmati pemandangan Sensō-ji dan Tokyo Skytree.


Restoran Sekai
Untuk makan tengah hari atau makan malam, saya syorkan Restoran Sekai yang menawarkan menu khas untuk keperluan istimewa pelanggan seperti makanan berasaskan sayuran untuk vegetarian dan set makanan halal kepada pengunjung. Restoran ini baru sahaja dibuka dan anda tidak perlu khuatir untuk makan di sini kerana pelayan restoran mereka boleh berbahasa Inggeris dan akan menjelaskan kepada anda mengenai ramuan yang digunakan dalam hidangan yang dipilih. Mereka juga akan melampirkan sijil status halal bagi daging yang digunakan. Walapun Restoran Sekai terletak di kawasan pelancong, harga yang dikenakan adalah berpatutan dan perkhidmatan wifi juga disediakan!






First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media

0 Comments:

Post a Comment