So I'll just follow the flow of places we went to. Pictures on blog are not necessarily the same one used in the magazine. More or less the same because I put a lot of effort selecting photos to be submitted to the editor. Now, I don't have the patience and interest to go through that again. Hehe.
Enjoy!
* * * * *
Shibuya
Hari
pertama kami banyak diluangkan di kawasan-kawasan wajib lawatan pelancong. Bak
kata pemandu pelancong kami, “you haven’t been to Tokyo if you have not been to
these places” dalam erti kata lain, jika tidak ke tempat-tempat penting ini,
kita dikira belum betul-betul mengenali Tokyo. Maklumlah monument-monumen dan
kawasan-kawasan ini sudah menjadi identiti Tokyo itu sendiri.
Anda
tentu pernah mendengar tentang Persimpangan Shibuya atau Shibuya Crossing? Saya
sendiri selalu mendengarnya tapi tak pernah tahu apa maksudnya. Kalau
diikutkan, laluan lintasan zebra terlalu biasa. Jadi, kenapa Shibuya Crossing
ini sangat istimewa sehingga menjadi salah satu ikon Tokyo? Apabila berada
sendiri di situ barulah saya memahami erti kata sebenar Persimpangan Shibuya.
Cuba anda bayangkan berada di tengah-tengah bandar di satu persimpangan yang
luas dan semua kenderaan berhenti untuk memberi laluan bagi pejalan kaki
melintas serentak. Bunyinya kedengaran biasa, tapi persimpangan Shibuya
mempunyai beberapa lintasan zebra dari pelbagai arah dan semua orang akan
melaluinya dalam masa yang sama!
Saya
sendiri mencuba melalui lintasan zebra di Shibuya dan mendapatkan foto kenangan
di tengah-tengah lautan manusia. Kalau anda ada masalah klaustrofobia, saya
sarankan anda tidak berhenti untuk mengambil gambar ketika orang ramai
melintas. Sebaliknya, cuba ke bangunan atau kedai terdekat yang boleh berikan anda pandangan
dari atas. Dari situ kita boleh melihat pergerakan kereta yang lalu lalang dan
diganti dengan orang ramai yang melintas serentak dari pelbagai hala.
Satu
lagi tarikan pelancong di Shibuya adalah patung Hachiko, simbol kesetiaan
melalui kisah seekor anjing bernama Hachi dari baka Akita yang menunggu tuannya
pulang dari kerja di Stesen Shibuya setiap hari. Hachi tetap setia menunggu
walaupun setelah kematian tuannya untuk 9 tahun 9 bulan dan 15 hari sehingga
hari kematian Hachi. Kini patung gangsa Hachiko menjadi salah satu tanda tempat
pertemuan orang ramai dan selalunya sesak kerana ia terletak di salah satu
daripada 5 laluan keluar dari stesen kereta api Shibuya.
Takashimaya
Department Store
Bertempat
di Shinjuku, Takashimaya Department Store saya sarankan menjadi salah satu
tempat persinggahan anda untuk membeli-belah kerana mereka menawarkan kad
diskaun khas untuk pelancong. Kad ini boleh didapatkan secara percuma di
Kaunter Pulangan Cukai di tingkat 2, anda hanya perlu tunjukkan passport untuk
dapatkan kad ini. Dan pengecualian cukai untuk semua barangan di Takashimaya
adalah sah untuk cawangan tersebut selama 3 bulan. Satu lagi kemudahan penting
bagi pelanggan Muslim adalah surau khas
di tingkat 11. Bilik ini lebih luas dan selesa, berkarpet dan satu penghadang
pemisah disediakan untuk lelaki dan wanita. Tanda arah kiblat juga disediakan.
Walaupun begitu, sejadah dan telekung tidak disediakan. Tempat berwudhuk yang
berpintu disediakan di dalam surau dan tandas awam ada berdekatan di bahagian
luar surau. Satu kelebihan surau di Takashimaya adalah, pada satu masa, hanya
satu kumpulan dibenarkan masuk untuk bersolat. Dengan cara ini, keselesaan
terjamin bagi pengguna bilik solat ini.
Imperial Palace
Antara
tempat paling menarik bagi saya adalah kunjungan ke istana maharaja Jepun,
Kokyo atau Imperial Palace di kawasan Chiyoda berdekatan stesen kereta api
Tokyo. Lokasi istana ini amat mengagumkan kerana ia berada di tengah-tengah bandar
yang membangun, dikelilingi bangunan-bangunan yang tinggi tetapi masih
mengekalkan konsep tradisional dan elemen hijau melalui taman dan tali air
semula jadi.
Bertapak
di atas tanah asal tapak istana pada zaman Edo, kawasan istana ini termasuk
taman merangkumi 3.41 meter persegi dan terdiri daripada dinding batu yang
besar dan dikelilingi parit yang lebar dan dalam disekitar istana.
Istana
Imperial secara amnya ditutup kepada awam kecuali di dua kawasan dan salah
satunya adalah Taman Timur. Orang awam hanya dibenarkan masuk ke kawasan istana pada 2 hari perayaan iaitu hari ulang
tahun kelahiran maharaja pada 23 Disember dan pada 2 Januari untuk sambutan hari
tahun baru.
Dari
Kokyo Gaien, sebuah plaza luas di hadapan istana, pengunjung boleh melihat
Nijubashi – jambatan berkembar yang menghubungkan ke kawasan dalam istana.
Jambatan batu di hadapan dipanggil Meganebashi yang berupa seakan-akan kaca
mata kerana pantulan bayang di dalam air. Walaupun tidak berpeluang untuk masuk
ke dalam istana, kawasan luar istana sudah cukup memberi gambaran betapa cantik
dan besar kawasan istana Maharaja Jepun.
Antara
kawasan lain yang dibuka untuk kunjungan awam di ruangan istana adalah Taman
Timur. Taman ini dibuka setiap hari kecuali pada hari Isnin dan Jumaat. Tapak
yang luas dan indah ini selalu menjadi pilihan untuk aktiviti riadah dan piknik
orang ramai. Di situ juga tersergam satu patung gangsa Samurai Kusunoki
Masashige yang berkhidmat untuk Maharaja Jepun sekitar kurun ke-14. Atas jasa
dan kesetiaan beliau, patung ini dibina dan menghadap istana Imperial
seolah-olah beliau sedang menjaga keselamatan maharaja dan istana.
Akihabara
Jika anda peminat komik Jepun atau manga, jangan lepaskan peluang untuk ke Akihabara. Pada asalnya Akihabara atau Akiba lebih dikenali sebagai daerah barangan elektronik dan gajet. Di sinilah tempatnya untuk mendapatkan segala jenis barangan elektronik dengan harga yang lebih murah dan berpatutan. Saya ketika itu masih lagi skeptikal dan tetap dengan tanggapan yang barangan di Jepun semuanya mahal-mahal. Akan tetapi saya memang mengakui sebahagian besar barangan elektronik yang dijual di sini harganya jauh berbeza dan sangat berbaloi untuk dibeli. Bukan sahaja barangan buatan Jepun, malahan jenama-jenama dari negara lain yang terkenal. Saya sememangnya tidak fikir panjang dan terus memborong yang termampu.
Budaya komik, anime dan figurin sememangnya amat terkenal dalam kalangan golongan muda di Jepun. Oleh itu tidak mengejutkan jika kawasan ini dianggap sebagai tempat ‘hype’ lebih-lebih lagi kerana minat mereka itu bukan sekadar mengambil tempat di hati golongan muda malah juga memenuhi kawasan Akiba. Sebelum ke sana, seorang kenalan telah meminta kiriman dari sebuah kedai komik di Akiba. Saya sangkakan ini pertolongan yang senang, saya hanya perlu ke kedai komik yang dinyatakan dan tunjukkan gambar komik itu. Sangkaan saya tersasar jauh sekali apabila saya sampai ke Akiba. Rupa-rupanya seluruh kawasan ini dipenuhi dengan kedai komik dan setiap satu mempunyai lebih daripada satu cawangan. Lebih mengejutkan lagi, setiap cawangan (yang rata-ratanya besar dan mempunyai lebih daripada satu tingkat) menjual jenis komik berlainan yang dikategorikan mengikut genre atau jenis. Mujur ada pemandu pelancong yang sedia untuk membantu dan berusaha untuk membantu saya mendapatkan komik tersebut.
Cadangan saya jika anda ke Akiba, ambil masa sebelum membeli kerana di sana terdapat terlalu banyak pilihan tidak kira barangan elektronik mahupun koleksi anime dan figurin. Satu lagi tips, jangan lupa untuk sentiasa membawa passport anda ketika membeli-belah. Kebanyakan kedai di Tokyo menawarkan harga tanpa cukai untuk pelancong, dan untuk mendapatkan pelepasan cukai, mereka memerlukan passport anda sebagai dokumen pengesahan. Pastikan anda tidak rugi dengan membayar harga penuh.
First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media
0 Comments:
Post a Comment