Hello! This will be the last post for my trip to Tokyo. And in this post you get an extra story of Disneyland, which was edited out. Disneyland are strict about the photos that gets published. We must get them from their archive only. You can't use your own photos.

Blogging takpe kot? Hopefully! I hope from my postings, sedikit sebanyak membantu for people who are planning their trip to Japan.

Feel free to contact me if you need to know a bit more. I'll help where I can.

* * * * *

Tokyo Disney Resort
Taman keriangan paling popular di dunia, Disneyland! Saya mengaku, di antara kesemua tempat yang disenaraikan dalam pakej ini, saya paling tertunggu-tunggu untuk ke Tokyo Disney Resort. Sejurus masuk, perhatian saya tertumpu ke bahagian tengah yang penuh dengan orang. Rupa-rupanya saya langkah kanan, tayangan ‘parade’ khas Frozen baru sahaja bermula! Parade Frozen ini ditayangkan cuma untuk seminggu dan hari kedatangan saya adalah hari kedua terakhir. Kalau anda seperti saya, baru pertama kali menjejakkan kaki ke Disneyland, saya percaya anda mesti berkongsi perasaan yang sama dengan saya – rambang mata! Saya terlalu teruja sehingga tak tahu di mana nak mula.






Disneyland terbahagi kepada 7 kawasan yang menawarkan konsep berbeza setiap satu, kawasan-kawasan tersebut adalah World Bazaar, Adventureland, Westernland, Critter Country, Fantasyland, Toontown dan Tomorrowland. Jika anda merancang untuk mencuba setiap satu permainan, pakai kasut yang selesa dan pakaian yang bersesuaian mengikut musim. Giliran anda mungkin tiba selepas sejam kerana barisan beratur sangat panjang. Pada mulanya saya tertawa melihat mereka di sana yang membawa selimut, tikar dan kerusi lipat. Rupanya mereka sudah bersedia untuk menghadapi musim dingin ketika beratur. Persediaan yang bijak! Saya ada beberapa tips untuk berkongsi dengan anda. Yang pertama, kalau boleh jangan datang pada hujung minggu, dan kedua bersedia dengan bekalan makanan. Anda mungkin tidak boleh membawa ia masuk, tetapi anda boleh keluar dan masuk semula, asalkan anda mempunyai tiket. Memang ada banyak kiosk makanan di dalam, tetapi agak susah untuk mendapatkan makanan halal di Disneyland lebih-lebih lagi jika anda tidak sanggup untuk beratur panjang.


Setiap kawasan pasti ada kedai atau kiosk cendera mata yang menjual pelbagai barangan permainan dan merchandise berkisarkan watak-watak popular filem Disney. Harganya mungkin sedikit mahal, tapi sebagai kenangan apa salahnya melabur sedikit. Saya sendiri tidak membeli-belah begitu banyak, tapi saya amat berpuas hati dengan syiling peringatan yang saya bawa pulang. Cuba jadikan misi anda untuk mencari mesin syiling peringatan si sekitar Disneyland. Setiap mesin menghasilkan motif yang berlainan dan berharga 1000yen setiap satu. Saya cuma jumpa 7 buah mesin, 6 di Tomorrowland dan 1 di The Home Store, World Bazaar. Anda boleh mulakan dengan 7 mesin ini dan kumpulkan kesemuanya!


AEON Mall Makuhari
Tidak jauh dari Disneyland adalah AEON Mall Makuhari. Anda mungkin biasa mendengar nama AEON di Malaysia. Di Jepun, AEON adalah salah satu cawangan gedung serbaneka terkemuka dan AEON Makuhari adalah salah satu cawangan paling besar di Tokyo. Jika anda masih belum penat membeli-belah, pusat membeli-belah ini pasti akan berjaya membuatkan anda penat. Mula dibuka pada hujung tahun 2013, pusat membeli-belah ini memuatkan 350 kedai dan restoran, pawagam, gimnasium dan juga trek larian. Bangunannya terbahagi kepada 4 dan setiap satu dikategorikan mengikut produk jualan. Walaupun cuma 2 tingkat, bangunan ini memanjang dan perjalanan dari satu hujung ke hujung mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit! 4 bahagian AEON Mall Makuhari adalah Grand Mall (barangan untuk pelanggan dewasa), Family Mall (barangan kanak-kanak dan keluarga), Pet Mall (produk dan barangan untuk haiwan peliharaan) dan Active Mall (barangan sukan dan elektronik).


Saya paling tertarik dengan Pet Mall kerana bahagian ini khas untuk haiwan peliharaan. Di tingkat bawah terdapat sebuah spa untuk haiwan dan lebih menarik lagi, haiwan peliharaan dibenarkan dibawa masuk ke dalam Pet Mall.


Dalam banyak-banyak kemudahan ruang solat, surau di AEON Makuhari adalah yang terbaik. Papan tanda besar dapat dilihat sebagai petunjuk arah ke surau di tingkat 4. Berbeza dengan yang sebelumnya, surau di AEON Makuhari memisahkan ruang lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai ruang solat yang besar dan tempat mengambil wudhuk tersedia di dalam. Turut disediakan di sini adalah sejadah dan telekung untuk bersolat. Begitu terperinci penyediaan mereka untuk memudahkan pelanggan beragama Islam beribadat. Saya begitu terharu kerana fasiliti di negara luar lebih elok dan terjaga daripada negara sendiri.




Hotel Springs Makuhari
Hari terakhir kami di habiskan di Hotel Springs Makuhari, berjarak 10 minit berjalan kaki dari AEON Makuhari. Hotel ini mula beroperasi 25 tahun lalu dan satu-satunya hotel yang dinobatkan sebagai “Muslim friendly hotel”. Perkara pertama yang saya ucapkan apabila melihat interior hotel ini adalah, mewah! Mana tidaknya, hotel ini bertaraf 5 bintang. Bilik bankuet mereka dihiasi chandelier yang berharga setanding sebuah kereta setiap satu.


 Tidak sangka sama sekali pihak pengurusan hotel ini sedaya-upaya mempersiap kemudahan untuk pengunjung Muslim. Kami dibawa ke Musollah untuk kegunaan ramai di tingkat 5 hotel ini. Tempat mengambil wudhuk disediakan di dalam tandas yang berdekatan dengan musollah. Sejadah sedia terbentang di dalam bilik solat dan pihak hotel membenarkan surau ini digunakan bukan sahaja untuk tetamu hotel malah terbuka untuk mana-mana pelancong Muslim. Menurut pihak pengurusan, sejadah dan arah kiblat juga disediakan di dalam bilik hotel untuk tetamu beragama Islam.







Hotel ini mempunyai 2 restoran yang menghidangkan juadah halal. Set menu halal hanya disediakan dengan permintaan pelanggan dan kesemua ramuan serta restoran mendapat sijil pengiktirafan status halal. Anda boleh mencuba set menu Jepun atau makanan Cina di salah satu daripada 2 restoran ini.



Untuk bercuti di negara asing sebenarnya tidak susah bagi seorang Muslim, cukup agar kita menjaga adab serta sentiasa mencari ikhtiar untuk menyempurnakan tanggungjawab beribadat. Di negara Jepun, saya cuma sarankan agar anda mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang fasih berbahasa Inggeris untuk membantu anda berkomunikasi dengan  pengusaha restoran dan pekedai. Selebihnya, kemudahan yang telah tersedia cukup meyakinkan sikap penerimaan dan keterbukaan mereka untuk pengunjung Muslim. Selamat melancong ke Jepun!



First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media
It's time for winter wonderland! This have got to be the best day during the whole trip. Though we didn't ski there, I enjoyed it so very much. Lagipun I've tried skiing in Seoul. Decided it's not for me.
Tubing on the other hand is A+!!!

* * * * *

Karuizawa
Seawal pagi lagi kami bertolak ke stesen kereta api Ueno untuk menaiki shinkansen (bullet train) ke Karuizawa. Tak sangka saya berpeluang untuk menaiki kenderaan yang sememangnya sinonim dengan negara Jepun ini. Jangan terlepas kerana setiap kereta api datang dan sampai ke destinasi tepat pada masanya. Kuraizwa di Nagano berjarak kira-kira 150km dari Tokyo, dan mengambil masa 2 jam 30 minit perjalanan dengan menaiki kereta. Shinkansen aliran Nagano hanya mengambil masa 80 minit untuk ke Kuraizawa, separuh daripada masa perjalanan! Harga tambang sehala adalah dalam anggaran 5500 yen. Kami diberitahu penduduk Tokyo akan ke Karuizwa untuk aktiviti musim sejuk kerana kemudahan shinkansen menyenangkan perjalanan mereka ke sana.




Tiba sahaja di Karuizawa, kami bukan sahaja dijemput oleh pemandangan putih salji yang memukau, malah angin dingin turut berhembus menerima kedatangan kami. Sangat sejuk! Kalau di bandar Tokyo suhu 7 darjah Celcius sudah cukup sejuk, di Karuizawa suhu waktu siang adalah -2 darjah Celcius dan boleh turun hingga – 12 darjah Celcius pada waktu malam. Walaupun digamit angin dingin, ia langsung tidak menghentikan saya daripada mengambil gambar kawasan sekeliling yang terlalu cantik untuk direkod.


Tempat persinggahan pertama kami adalah Karuizawa Prince Snow Resort, sebuah pusat peranginan yang menyediakan kemudahan aktiviti musim sejuk seperti sleding dan snow tubing serta aktiviti yang lebih lasak antaranya ski dan snow boarding. Jika anda tidak mempunyai peralatan dan pakaian yang bersesuaian, jangan khuatir! Di sini juga disediakan perkhidmatan sewa pakaian dan but serta peralatan untuk ski dan snowboarding. Harga yang dikenakan berbeza mengikut keperluan aktiviti. 



Untuk makan, ada beberapa outlet dan kiosk. Kami mencuba pilihan selamat iaitu kiosk kebab di luar tempat permainan kanak-kanak yang diusahakan oleh En. Hamid dari Turki. Selepas penat bermain salji, dan dalam cuaca yang sejuk, kebab panas amat-amat menyelerakan bagi kami yang lapar.




Tempat penginapan kami di sini tidak jauh dari resort ski, cuma 15 minit dengan menaiki kenderaan. Karuizawa Prince Hotel West, salah satu hotel milik Prince Hotel yang juga memiliki resort ski di situ. Terdapat satu lagi hotel di bawah pemilik yang sama, jadi jangan tersilap apabila anda membuat tempahan. Saya amat sukakan hotel ini kerana ruang biliknya yang luas dan pemandangan dari tingkap bilik yang sangat istimewa, seolah-olah satu lukisan gambar hutan salji dilekatkan ditingkap saya. Amat menakjubkan!





Sebab utama saya tegaskan untuk jangan tersilap membuat tempahan adalah kerana, Karuizawa Prince Shopping Centre terletak betul-betul di hadapan hotel. Cuma 5 minit berjalan, anda akan terus sampai ke plaza membeli-belah ini. Kalau anda kaki membeli-belah, saya cadangkan untuk anda luangkan masa di sini dan susun dahulu perjalanan anda sebab tempat ini sangat besar! Sebelum masuk ke dalam, pelanggan boleh mendapatkan peta lokasi yang menyenaraikan 140 butik barangan berjenama dan peralatan sukan. Plaza membeli-belah ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga ke 7 malam. Saya cuma berkesempatan beberapa jam di sana tetapi saya berjaya untuk ‘window shopping’ di semua kedai. Penat juga untuk menghabiskan satu pusingan. Kawasannya begitu luas sehinggakan saya sampai semula ke stesen kereta api yang saya tiba pada pagi itu. Nasib baik hotel tidak jauh daripada plaza, kalau tidak mungkin saya tidak mampu untuk berjalan pulang. Lebih-lebih lagi kerana tangan sudah penuh dengan pembelian di sana.




Saya agak sedih untuk meninggalkan Karuizawa kerana keadaannya yang relaks dan mendamaikan. Sangat-sangat berbeza dengan Tokyo yang sibuk dan 2 hari di Tokyo sebenarnya agak memenatkan kerana orang di Jepun semuanya berjalan laju! Semuanya bergerak dengan pantas, jadi terasa seperti sedang terkejar-kejar. Jika saya kembali ke Jepun, Kuraizawa semestinya menjadi pilihan untuk saya datang lagi.



First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media
I didn't even know what SkyTree was when I was assigned to this trip, I know of Tokyo Tower but didn't know there's a new skyscraper that took over the throne. Didn't even  do any research (bad journalist!), so glad I enjoyed the tour. It was really special. We went through special areas and all 3 levels of observation decks.

If I get the chance to go there again, I would like to try all their 4 elevators and to visit that Totoro Store near the tower entrance. Tak sempat!

* * * * *
Tokyo SkyTree
Lawatan ke negara asing memang tidak akan lengkap sekiranya tidak ke menara atau bangunan tertinggi mereka. Untung sekali bagi saya kerana lawatan ke Tokyo SkyTree ibarat sambil menyelam sambil minum air. Tokyo SkyTree yang berdiri megah dengan ketinggian 634m bukan sahaja menara tertinggi di Tokyo malah menara tertinggi di dunia! Beroperasi sejak 2012 sebagai menara transmisi penyiaran, Tokyo SkyTree menggantikan Menara Tokyo yang tidak dapat memberi penyebaran penuh kerana dihalang bangunan-bangunan baru yang lebih tinggi. Saya sebenarnya amat teruja untuk melihat pemandangan bandar Tokyo dari observatori dan semestinya paling saya ingin sendiri adalah lambang kemegahan Jepun, Gunung Fuji. Malang sekali nasib tidak menyebelahi saya kerana hari tersebut mendung dan berkabus. Mungkin Fujiyama segan untuk menonjolkan diri.



Namun begitu, pengalaman berada di dalam menara tertinggi dunia amat menarik. Observatori dibuka untuk umum hanya pada 2 ketinggian iaitu 350 meter dan 450 meter. Anggaran harga untuk ke Tembo Deck di ketinggian 350meter adalah 2000yen manakala harga tiket ke Tembo Galleria adalah dalam anggaran 1000 yen. Tiket untuk ke Tembo Galleria boleh dibeli di Tembo Deck dan tempahan awal tidak dibenarkan.


Tokyo SkyTree mempunyai 4 lif untuk kegunaan awam dan setiap lif dihiasi dengan elemen yang menggambarkan 4 musim di Jepun. Satu lagi informasi menarik tentang Tokyo SkyTree adalah warna bangunan itu sendiri yang dicipta khas dan diberikan nama rasmi sebagai SkyTree White. Warna ini adalah variasi dari warna “aijiro”, iaitu warna tradisional indigo biru dengan tahap paling cerah sehingga seakan-akan warna putih. Warna ini dicipta untuk memberi kesepaduan dia antara bangunan dan persekitaran langit biru Tokyo.

Pusat fesyen Tokyo!
Bagi yang berminat untuk membeli-belah, Ginza adalah salah satu tempat yang harus dituju. Sepanjang jalan utama Ginza, anda boleh melihat butik-butik berjenama yang bukan sahaja setingkat, ada yang mengisi seluruh bangunan tersebut seperti jenama terkemuka Uniqlo yang menghuni seluruh bangunan 9 tingkat. Tidak jauh dari kawasan utama Ginza adalah restoran makanan Malaysia yang bernama Rasa. Dibuka 13 tahun lalu, restoran ini menyediakan menu yang kita kenal dan mungkin sudah mulai rindu. Staf restoran ini hampir kesemuanya anak jati Malaysia dan di sana anda dapat melihat gambar-gambar menghiasi dinding restoran. Antara pengunjung ternama yang telah sampai ke restoran ini adalah Datuk Siti Nurhaliza dan Tun Dr. Mahathir.


Satu lagi pusat membeli-belah yang anda boleh kunjungi adalah Venus Fort di Odaiba. Interior bangunan 2 tingkat ini direka berlandaskan seni bina Eropah dan penonjolan utamanya adalah siling bangunan yang memimik langit di luar. Teknologi yang digunakan memberi ilusi langit biru yang indah hasil daripada iluminasi lampu-lampu.  Bersebelahan Venus Fort adalah Mega Web, sebuah taman tema yang sebahagian besar adalah Toyota Showcase. Di sini anda dapat melihat pelbagai jenis kereta Toyota, tidak kira baru dan lama. Saya agak terkejut apabila melihat jumlah dan jenis kereta-kereta Toyota yang sebenarnya jauh lebih banyak dan canggih daripada yang ada di pasaran Malaysia. Tiada caj dikenakan untuk masuk ke Mega Web, peminat-peminat kereta tentu berpuas hati dengan pameran kereta di sini.



Tokyo Halal Restaurant
Restoran ini baru sahaja dibuka hujung tahun lalu, tetapi pemilik dan chef yang berasal dari Bangladesh sudah bermastautin di Jepun lebih daripada 20 tahun dan berpengalaman dalam penyediaan hidangan Jepun. Saya amat sukakan set makanan 7 hidangan yang disediakan kerana mengetengakan fusion makanan Jepun dan Barat. Di samping itu, ramuan-ramuan yang digunakan telah mendapat pengiktirafan sijil halal dari badan berwajib di Jepun. Pemilik restoran ini yang beragama Islam juga memberi ruang di dalam restoran sekiranya ada pelanggan ingin menunaikan solat. Sejadah dan jam yang membunyikan azan apabila masuk waktu solat tersedia untuk penggunaan pelanggan.



First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media
Interested tak to visit Tokyo after reading what I wrote? I hope I did justice to Malay writing. Do leave a comment. Or else I wouldn't know if I am really bad. Rupanya selama ni perasan je kan.

Okay, lets continue the journey in Asakusa, Tokyo! I stayed here for 2 nights.

* * * * *
Sensō-ji, Asakusa
Bandar Asakusa bertempat di daerah Taito, perkara pertama yang saya perhatikan di sini adalah pertembungan Tokyo lama yang masih kekal dengan identiti tradisional dan juga Tokyo moden. Agak menarik bagi saya yang berdiri sementara menunggu lampu isyarat bertukar untuk menyaksikan beca tradisional yang ditarik bersama 2 orang penumpang, berlalu di hadapan saya. Di sini saya berkesempatan bertemu dengan pihak pengurusan pelancongan Taito dan dibawa ke tokong tertua di Tokyo, Sensō-ji.


Untuk masuk ke Sensō-ji, kita mesti melalui Kaminarimon atau Pagar Guruh (Thunder Gate), salah satu daripada 2 pagar utama Sensō-ji. Tarikan utama Kaminarimon semestinya tanglung atau lantera gergasi yang berada betul-betul di tengah pagar. Lantera ini berukuran 3.4m keliling, 4 meter tinggi dan seberat 670 kilogram! Di hadapan lantera, tertulis nama Kaminarimon dan bahagian bawahnya pula adalah ukiran kayu bermotifkan naga.


Perjalanan dari Kaminarimon ke pagar kedua, Hozomon sememangnya menarik kerana laluan yang diberi nama Nakamise ini memberikan kita gambaran seolah-olah kita sedang berjalan di dalam bandar Tokyo lama di zaman Edo. Terdapat kira-kira 90 buah kedai di deretan Nakamise dan rata-ratanya menjual barangan serta produk kraf Jepun dan cenderahati untuk para pelancong. Selain itu, tidak putus di kiri dan kanan lorong, pilihan pelbagai snek dan makanan Jepun. Ada juga gerai yang melakukan demonstrasi penyediaan makanan seperti Ningyoyaki, sejenis kuih berintikan kacang merah yang dibakar. Jika anda ke sini, sila bersedia untuk bersesak! Nakamise adalah tempat utama yang dituju untuk mendapatkan cendera mata seperti magnet, t-shirt dan barangan lain.


Hozomo atau pagar khazanah mempunyai dua tingkat dan menempatkan pelbagai khazanah di tingkat kedua. Di tingkat bawah terdapat 2 patung di setinggi 5.45 meter dan 3 lantera gergasi. Hozomon dibina hampir 500 tahun dahulu dan pernah dua kali terbakar dalam dua kejadian berjarak 300 tahun. Pada tahun 1965, Hozomon dibina semula untuk kali kedua menggunakan bahan tahan  kebakaran dan struktur konkrit berteraskan besi bagi memastikan keutuhannya.




Satu perkara yang menarik perhatian saya adalah The Dragon Fountain / air pancut naga yang disediakan. Pengunjung Sensō-ji disaran menyucikan diri sebelum masuk ke dalam dewan utama. Setiap orang akan mengambil gayung dan mencedok sedikit air, cukup untuk berkumur dan membersihkan kedua pergelangan tangan dan juga membersihkan gayung yang digunakan untuk penggunaan seterusnya.  Sebagai menghormati budaya mereka, saya turut mengikuti proses tersebut. Akan tetapi saya lupa yang ketika itu adalah musim sejuk dan jirusan pertama air cukup menyejukkan sehingga saya hampir menjerit terkejut! Saya pasti mereka menahan ketawa melihat gelagat saya ketika itu. Untuk makluman, pengunjung Sensō-ji tidak dibenarkan untuk mengambil gambar di dalam dewan utama.



Saya perlu kongsi dengan anda satu tips untuk mendapatkan gambar Nakamise dan pagoda 5 tingkat yang cantik tanpa perlu bersusah-payah. Anda cuma perlu ke Asakusa Culture Tourist Information Center yang terletak setentang dengan  Kaminarimon (Thunder Gate) dan naik ke observation deck di tingkat 8. Tiada caj! Di situ juga terdapat satu kafe untuk anda berehat sambil menikmati pemandangan Sensō-ji dan Tokyo Skytree.


Restoran Sekai
Untuk makan tengah hari atau makan malam, saya syorkan Restoran Sekai yang menawarkan menu khas untuk keperluan istimewa pelanggan seperti makanan berasaskan sayuran untuk vegetarian dan set makanan halal kepada pengunjung. Restoran ini baru sahaja dibuka dan anda tidak perlu khuatir untuk makan di sini kerana pelayan restoran mereka boleh berbahasa Inggeris dan akan menjelaskan kepada anda mengenai ramuan yang digunakan dalam hidangan yang dipilih. Mereka juga akan melampirkan sijil status halal bagi daging yang digunakan. Walapun Restoran Sekai terletak di kawasan pelancong, harga yang dikenakan adalah berpatutan dan perkhidmatan wifi juga disediakan!






First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media