Hello! This will be the last post for my trip to Tokyo. And in this post you get an extra story of Disneyland, which was edited out. Disneyland are strict about the photos that gets published. We must get them from their archive only. You can't use your own photos.
Blogging takpe kot? Hopefully! I hope from my postings, sedikit sebanyak membantu for people who are planning their trip to Japan.
Feel free to contact me if you need to know a bit more. I'll help where I can.
* * * * *
Tokyo Disney
Resort
Taman
keriangan paling popular di dunia, Disneyland! Saya mengaku, di antara kesemua
tempat yang disenaraikan dalam pakej ini, saya paling tertunggu-tunggu untuk ke
Tokyo Disney Resort. Sejurus masuk, perhatian saya tertumpu ke bahagian tengah
yang penuh dengan orang. Rupa-rupanya saya langkah kanan, tayangan ‘parade’
khas Frozen baru sahaja bermula! Parade Frozen ini ditayangkan cuma untuk
seminggu dan hari kedatangan saya adalah hari kedua terakhir. Kalau anda
seperti saya, baru pertama kali menjejakkan kaki ke Disneyland, saya percaya
anda mesti berkongsi perasaan yang sama dengan saya – rambang mata! Saya
terlalu teruja sehingga tak tahu di mana nak mula.
Disneyland
terbahagi kepada 7 kawasan yang menawarkan konsep berbeza setiap satu,
kawasan-kawasan tersebut adalah World Bazaar, Adventureland, Westernland,
Critter Country, Fantasyland, Toontown dan Tomorrowland. Jika anda merancang
untuk mencuba setiap satu permainan, pakai kasut yang selesa dan pakaian yang
bersesuaian mengikut musim. Giliran anda mungkin tiba selepas sejam kerana
barisan beratur sangat panjang. Pada mulanya saya tertawa melihat mereka di
sana yang membawa selimut, tikar dan kerusi lipat. Rupanya mereka sudah
bersedia untuk menghadapi musim dingin ketika beratur. Persediaan yang bijak!
Saya ada beberapa tips untuk berkongsi dengan anda. Yang pertama, kalau boleh
jangan datang pada hujung minggu, dan kedua bersedia dengan bekalan makanan.
Anda mungkin tidak boleh membawa ia masuk, tetapi anda boleh keluar dan masuk
semula, asalkan anda mempunyai tiket. Memang ada banyak kiosk makanan di dalam,
tetapi agak susah untuk mendapatkan makanan halal di Disneyland lebih-lebih
lagi jika anda tidak sanggup untuk beratur panjang.
Setiap
kawasan pasti ada kedai atau kiosk cendera mata yang menjual pelbagai barangan
permainan dan merchandise berkisarkan
watak-watak popular filem Disney. Harganya mungkin sedikit mahal, tapi sebagai
kenangan apa salahnya melabur sedikit. Saya sendiri tidak membeli-belah begitu
banyak, tapi saya amat berpuas hati dengan syiling peringatan yang saya bawa
pulang. Cuba jadikan misi anda untuk mencari mesin syiling peringatan si
sekitar Disneyland. Setiap mesin menghasilkan motif yang berlainan dan berharga
1000yen setiap satu. Saya cuma jumpa 7 buah mesin, 6 di Tomorrowland dan 1 di
The Home Store, World Bazaar. Anda boleh mulakan dengan 7 mesin ini dan
kumpulkan kesemuanya!
AEON Mall
Makuhari
Tidak
jauh dari Disneyland adalah AEON Mall Makuhari. Anda mungkin biasa mendengar
nama AEON di Malaysia. Di Jepun, AEON adalah salah satu cawangan gedung
serbaneka terkemuka dan AEON Makuhari adalah salah satu cawangan paling besar
di Tokyo. Jika anda masih belum penat membeli-belah, pusat membeli-belah ini
pasti akan berjaya membuatkan anda penat. Mula dibuka pada hujung tahun 2013,
pusat membeli-belah ini memuatkan 350 kedai dan restoran, pawagam, gimnasium
dan juga trek larian. Bangunannya terbahagi kepada 4 dan setiap satu
dikategorikan mengikut produk jualan. Walaupun cuma 2 tingkat, bangunan ini
memanjang dan perjalanan dari satu hujung ke hujung mengambil masa
sekurang-kurangnya 30 minit! 4 bahagian AEON Mall Makuhari adalah Grand Mall
(barangan untuk pelanggan dewasa), Family Mall (barangan kanak-kanak dan
keluarga), Pet Mall (produk dan barangan untuk haiwan peliharaan) dan Active
Mall (barangan sukan dan elektronik).
Saya
paling tertarik dengan Pet Mall kerana bahagian ini khas untuk haiwan
peliharaan. Di tingkat bawah terdapat sebuah spa untuk haiwan dan lebih menarik
lagi, haiwan peliharaan dibenarkan dibawa masuk ke dalam Pet Mall.
Dalam
banyak-banyak kemudahan ruang solat, surau di AEON Makuhari adalah yang
terbaik. Papan tanda besar dapat dilihat sebagai petunjuk arah ke surau di
tingkat 4. Berbeza dengan yang sebelumnya, surau di AEON Makuhari memisahkan
ruang lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai ruang solat yang besar dan
tempat mengambil wudhuk tersedia di dalam. Turut disediakan di sini adalah
sejadah dan telekung untuk bersolat. Begitu terperinci penyediaan mereka untuk
memudahkan pelanggan beragama Islam beribadat. Saya begitu terharu kerana
fasiliti di negara luar lebih elok dan terjaga daripada negara sendiri.
Hotel Springs
Makuhari
Hari
terakhir kami di habiskan di Hotel Springs Makuhari, berjarak 10 minit berjalan
kaki dari AEON Makuhari. Hotel ini mula beroperasi 25 tahun lalu dan
satu-satunya hotel yang dinobatkan sebagai “Muslim friendly hotel”. Perkara
pertama yang saya ucapkan apabila melihat interior hotel ini adalah, mewah! Mana
tidaknya, hotel ini bertaraf 5 bintang. Bilik bankuet mereka dihiasi chandelier
yang berharga setanding sebuah kereta setiap satu.
Tidak
sangka sama sekali pihak pengurusan hotel ini sedaya-upaya mempersiap kemudahan
untuk pengunjung Muslim. Kami dibawa ke Musollah untuk kegunaan ramai di
tingkat 5 hotel ini. Tempat mengambil wudhuk disediakan di dalam tandas yang
berdekatan dengan musollah. Sejadah sedia terbentang di dalam bilik solat dan
pihak hotel membenarkan surau ini digunakan bukan sahaja untuk tetamu hotel
malah terbuka untuk mana-mana pelancong Muslim. Menurut pihak pengurusan,
sejadah dan arah kiblat juga disediakan di dalam bilik hotel untuk tetamu
beragama Islam.
Hotel
ini mempunyai 2 restoran yang menghidangkan juadah halal. Set menu halal hanya
disediakan dengan permintaan pelanggan dan kesemua ramuan serta restoran
mendapat sijil pengiktirafan status halal. Anda boleh mencuba set menu Jepun
atau makanan Cina di salah satu daripada 2 restoran ini.
Untuk
bercuti di negara asing sebenarnya tidak susah bagi seorang Muslim, cukup agar
kita menjaga adab serta sentiasa mencari ikhtiar untuk menyempurnakan
tanggungjawab beribadat. Di negara Jepun, saya cuma sarankan agar anda
mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang fasih berbahasa Inggeris untuk
membantu anda berkomunikasi dengan
pengusaha restoran dan pekedai. Selebihnya, kemudahan yang telah
tersedia cukup meyakinkan sikap penerimaan dan keterbukaan mereka untuk
pengunjung Muslim. Selamat melancong ke Jepun!
First published on Cuti Cuti Isu 006, Pelancongan Muslim ke Tokyo, AmLeisure Media