Baru selesai tonton video Awin dan rakan sekelasnya semasa terkandas di Rompin. Ada beberapa muka yang dikenali di situ. Mereka ke Tioman untuk tugasan kursus pengajian.
Teringat memori sendiri bersama Geng Gitar Lapok (pada ketika itu kami belum dikenali sebagai Geng Gitar Lapok lagi) ke Bagan Lalang ketika di semester ketiga dan aktiviti khidmat masyarakat kami di Pulau Pangkor. Sangat sangat rindukan 'percutian' kami.
Kalau nak dibandingkan waktu di Unisel dan di USM, memang lebih banyak aktiviti makan angin di Penang ini. Sehingga ke negara jiran juga ada. Tapi tak sama dengan percutian atau
class trip yang diikuti ramai orang. Memang agak leceh untuk persiapkan pengangkutan, makanan dan tempat tinggal bagi 50 orang. Akan tetapi keseronokkan itu terjamin. 50 orang, pelbagai ragam dan sudah tentu banyak peristiwa menarik untuk dikongsi.
Di USM agak susah untuk kumpulkan kesemua ahli kelas untuk ikuti satu trip. Setiap kelas diisi dengan muka-muka yang berbeza. Dan setiap orang ambil subjek berbeza walaupun di bawah major yang sama. Sebagai contoh, kami dari major komunikasi pemujukan dibenarkan memilih 5 dari 9 pilihan subjek pemujukan yang ditawarkan. Jadi ada kelas yang mempunyai 15 orang dan ada kelas yang dipenuhi 45 orang. Tambahan lagi kami ada subjek dari pusat pengajian (fakulti) lain yang perlu kami ambil juga untuk memenuhi keperluan minor kami.
Berbeza dengan unisel yang menetapkan 5 subjek setiap semester dan pelajar yang mengikuti kursus-kursus ditawarkan adalah berdasarkan tahun kemasukan mereka. Secara mudahnya, keadaan dia sana adalah seperti di sekolah. Subjek yang perlu diambil pelajar telah ditetapkan oleh fakulti. Dan ahli kelas adalah orang yang sama bagi setiap kursus. Dengan cara itu, rakan-rakan lebih rapat kerana kerap berjumpa dan keaadaan ini lebih menyenangkan untuk membuat perancangan projek kelas atau percutian bersama.
Sebenarnya ada juga harapan untuk hasilkan aktiviti percutian beramai-ramai di sini. Akan tetapi bukan semua orang rapat antara satu sama lain walaupun berada di bawah satu major yang sama. Kami kebanyakkan bertemu sekadar untuk menyapa. Dan mungkin hanya berjumpa pada sesi seterusnya untuk kelas yang lain. Kemesraan tidak serupa dengan keadaan semasa di Shah Alam dulu.